Pages

Wednesday 14 August 2013

Lagi kebakaran di rumah setinggan


Penduduk menunjukkan kemusnahan akibat kebakaran melibatkan 31 rumah di Kampung Puah Bahagia, Sentul, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Selang dua hari selepas kebakaran besar yang memusnahkan tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak, Sentul di sini, satu lagi tragedi kebakaran berlaku di perkampungan setinggan berhampiran kawasan yang sama.
Insiden terbaharu itu berlaku pada pukul 12.50 tengah malam tadi di Kampung Puah Bahagia, Sentul iaitu kira-kira 500 meter dari Kampung Chubadak.
Dalam kejadian itu, seramai 212 penduduk hilang tempat tinggal apabila 31 rumah di perkampungan itu musnah dijilat api.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.52 tengah malam dan segera menghantar 10 jentera bersama 65 anggota untuk operasi menyelamat.
Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi kebakaran dalam tempoh 10 minit, namun usaha memadam api tidak dapat dilakukan dengan pantas kerana ketiadaan pili bomba di situ.
"Pihak bomba terpaksa mengambil air di kawasan perumahan Flat Bandar Baru Sentul yang jaraknya 500 meter dari tempat kejadian sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.03 pagi," katanya.
Beliau berkata, seramai 212 orang daripada 38 keluarga yang menetap di 31 kediaman itu kini ditempatkan di penempatan sementara di Dewan Komuniti Danau Kota.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130812/je_07/Lagi-kebakaran-di-rumah-setinggan#ixzz2bwXW1tvG 


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment